Header Ads

Batas-Batas Gurauan


Guru saya pernah berpesan:-

“Bergurau senda ada batas-batasnya. 
Adab perlu dijaga agar jangan sampai berlebih-lebihan dan menghina.”

Hidup ini perlu beriringan dengan adab dan akhlak. Setiap tindak-tanduk kita mesti dibatasi dengan waspada dan kesederhanaan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hubungan sesama manusia, umumnya.

Begitu juga dengan bergurau senda, jika dijaga adab dan aturannya, ia mampu merapatkan hubungan silaturahim dan menghiburkan jiwa. Tetapi awas apabila kita mula bergurau tanpa peduli akan perasaan orang lain, pasti akan menimbulkan bencana pula.

Sebenarnya tidaklah salah jika bergurau, sekadar untuk santai-santai agar dapat membuahkan kedamaian, kegembiraan, keharmonian dan kemesraan. Bahkan bergurau ini dikira sebagai amalan kebajikan apabila kita mampu menyenangkan hati orang lain. Rasulullah SAW sendiri juga pernah bergurau bersama sahabat handai, juga dengan ahli keluarga Baginda SAW.

Oleh itu, boleh dikatakan bergurau ini adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Namun harus diingat, seperti yang diperkatakan oleh guru saya tadi, bergurau senda ada batas-batasnya. Di sini saya kemukakan batas-batas bergurau senda mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam:-

#1 Tempat dan Waktu yang Sesuai

Adakalanya terdapat orang yang terlalu suka bergurau tidak mengikut waktu dan tempat yang sesuai. Bila melihat si sahabat dilanda musibah, sakit atau baru sahaja kematian ahli keluarga, tidak begitu sesuai jika kita bergurau dengannya. 

Adalah lebih baik, jika kita mententeramkan perasaannya dengan kata-kata semangat. Kemudian, apabila tekanan yang dihadapinya itu sedikit demi sedikit hilang, barulah kita hiasi dengan gurauan.

#2 Menggunakan Perkataan yang Kesat

Pernah saya mendengar seseorang berseloroh menegur sahabatnya:-

“Woi! Hidup lagi rupanya? Ingatkan dah mati....”

Kata itu doa dan ia juga cerminan peribadi kita sendiri. Biarpun apa yang keluar dari mulut itu tidaklah diniatkan, namun lebih terbaik jika kita mengujarkan kata-kata yang berpahala seperti mengucapkan salam dan mendoakan kebaikan pada orang yang ditemui.

Kita perlu ingat, senantiasa ada malaikat yang mencatat setiap satu perbuatan dan percakapan kita. Alangkah ruginya jika perkara berdosa sahaja yang keluar dari mulut ini....

#3 Mereka-reka Cerita agar Orang ketawa

Kadang-kadang demi hendak menyedapkan cerita, kita sangggup menambah perkara dan fakta palsu supaya orang yang mendengarnya seronok dan ketawa. Namun Rasulullah SAW mencela perbuatan sebegini, seperti sabdanya:-

“Celakalah orang yang berkata kemudian berbohong supaya orang lain ketawa, maka celakalah baginya, maka celakalah baginya.” 

Hadith Riwayat Abu Daud

#4 Mengejek Hal-Hal dalam Agama Islam 

Masakini, ramai yang sengaja mempersendakan aspek agama seperti perintah Allah SWT dan juga sunnah Rasulullah SAW. Tidakkah mereka tahu yang tindakan ini adalah sesuatu yang memesongkan akidah sendiri bahkan menghina Allah SWT dan Rasul-Nya.

Contohnya, ada yang mempersendakan sunnah-sunnah Rasulullah SAW seperti menyimpan janggut,  memakai jubah serta suruhan Allah SWT di dalam al-Quran seperti amalan poligami, hukum talak, hukum faraid, hukum hudud dan sebagainya.

#5 Tidak Menjaga Perasaan Orang lain

‘Cakap main sedap mulut’ itu adalah trend orang zaman sekarang. Entah mengapa umat Islam makin terikut-ikut dengan budaya Barat yang bersifat sarkastik dan sinis. Kononnya, siapa yang tidak tahan bergurau sedemikian rupa, mereka dianggap ‘cepat sentap’ dan ‘dalam hati ada taman bunga’.

Sedangkan antara tanggungjawab seorang Mukmin kepada saudara seagamanya adalah menjaga perasaan mereka agar tidak kita sakiti. Hukumnya berdosa besar dan wajib untuk kita segerakan memohon maaf.

#6 Biarlah Sesuai dengan Orangnya

Lihatlah dengan siapa kita bergurau, jangan kita main langgar sahaja. Cara dan perkara yang kita guraukan itu juga perlu sesuai dengan orangnya. Sebagai contoh, tidakkah kurang elok jika kita bergurau dengan orang yang lebih tua sepertimana kita begurau dengan rakan-rakan sebaya kita.

Gunakanlah akal fikiran ini untuk menilai baik dan buruk perbuatan kita sebelum kita melakukannya. Juga kita dilarang bergurau senda dengan orang bukan mahram kerana ia bukanlah perbuatan yang diharuskan dalam aspek ikhtilat atas urusan muamalat.

#7 Ketawa Berdekah-dekah yang Berlebihan

Sabda Rasulullah SAW:-

“Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” 

Hadith Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi

Ikutlah contoh terbaik kita, Nabi Muhammad SAW. Apabila Baginda SAW mendengar para sahabat menceritakan perkara yang lucu, Baginda SAW hanya tersenyum sahaja. Ini kerana perbuatan ketawa tanpa kawalan akan menjatuhkan peribadi seseorang.

Malah bersederhana itu adalah lebih baik bagi kita. 


Oleh itu, jagalah adab dan akhlak kita dalam bergurau senda. Islam ini mudah dan indah. Dan keindahannya terletak pada kecantikan adab dan kemuliaan akhlak umatnya sendiri.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.